fb fb fb fb fb

Felda Wilayah Jengka semarak sambutan Bulan Kemerdekaan

JENGKA, 16 Ogos- Lebih 250,000 Jalur Gemilang dan Bendera Hitam Putih Negeri Pahang dijangka dikibarkan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan Negara ke-65 di premis kediaman dan premis perniagaan di 37 rancangan Felda Wilayah Jengka tahun ini, sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Pengerusi Biro Sosial dan Kemasyarakatan Gabungan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan Wilayah Jengka (JKKR) Razak Daud berkata, peneroka memasang bendera-bendera tersebut secara bergotong-royong.

Menurutnya, pada sambutan bulan kemerdekaan tahun lepas setiap rancangan felda mengibarkan purata 6,000 Jalur Gemilang tetapi tahun ini dijangka meningkat kepada 10,000 Jalur Gemilang di setiap 37 rancangan felda.

Malah bagi memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan, Pejabat Felda Wilayah Jengka telah pun mengadakan pertandingan menghias premis dengan Jalur Gemilang mengikut kreativiti berdasarkan tema `Keluarga Malaysia Teguh Bersama'.

Tambah beliau, pemasangan Jalur Gemilang itu merupakan inisiatif dan daya kreativiti penduduk masing-masing.

Antara penduduk Felda Jengka 24 memasang bendera sempena sambutan
Hari Kebangsaan di sekitar felda tersebut

Razak yang juga Ketua Peneroka Felda Jengka 24 mengakui teruja dengan kerjasama penduduk termasuk generasi baharu felda bergotong royong dan mengibarkan Jalur Gemilang.

Sementara itu, penduduk turut teruja dan semangat setelah hampir dua tahun tidak menyambutnya akibat pandemik COVID-19.

Media Baharu