fb fb fb fb fb

FDRS akan ditambah baik  - Tuan Ibrahim 

PUTRAJAYA, 5 Julai - Sistem Penilaian Bahaya Kebakaran (FDRS) yang digunakan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sejak 2003 akan ditambah baik dengan produk baharu iaitu ramalan kebakaran pada hujung tahun ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sejak 2003, MetMalaysia telah membekalkan maklumat amaran kebakaran hutan dan tanah gambut melalui FDRS kepada semua negara ASEAN.

"Inisiatif ini akan diteruskan dengan beberapa penambahbaikan termasuk produk baharu iaitu ramalan kebakaran," katanya dalam kenyataan, sempena Mesyuarat Ke-23 Technical Working Group (TWG) dan Sub-Regional Ministerial Steering Commitee (MSC) berkaitan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan yang dipengerusikannya.

Malaysia menjadi tuan rumah bagi mesyuarat tersebut yang disertai menteri alam sekitar dari empat negara ASEAN iaitu Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Tuan Ibrahim berkata pelbagai program, projek dan aktiviti berkaitan pencegahan kebakaran tanah gambut, pembangunan kapasiti negara MSC dan rantau ASEAN berkaitan pemantauan cuaca, titik panas, jerebu serta pemadaman kebakaran telah dirangka bagi memantapkan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan cuaca luar jangka.

(FOTO HIASAN)

Menurutnya, berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN, rantau ASEAN akan berhadapan dengan suhu panas di atas paras normal sekitar Julai hingga Oktober tahun ini.

"Namun begitu, fenomena El-Nino yang menyebabkan cuaca yang lebih panas dan kering dijangka tidak berlaku," katanya.

Fenomena El-Nino berlaku akibat perubahan tekanan atmosfera dan suhu lautan terutama di Lautan Pasifik.

Tuan Ibrahim berkata sepanjang tahun 2020 sehingga sekarang, tiada sebarang insiden jerebu merentas sempadan berlaku di selatan rantau ASEAN susulan cuaca yang agak lembab dan taburan hujan pada paras hampir normal.

"Walaupun begitu, semua negara MSC telah memberikan komitmen berterusan dalam mencegah dan menangani pembakaran terbuka khususnya melibatkan hutan, ladang dan tanah gambut yang menjadi punca utama jerebu merentas sempadan," katanya.

Tuan Ibrahim berkata kerajaan Malaysia sentiasa bersedia menghadapi cuaca panas luar jangka dengan mempertingkatkan usaha di peringkat nasional bagi mencegah pembakaran terbuka serta jerebu dalam negara yang boleh menjejaskan kualiti udara negara dan kesihatan awam. - BERNAMA

Media Baharu