fb fb fb fb fb

KPDNHEP mulakan pemeriksaan audit dan pemutihan di premis pembungkusan minyak masak bersubsidi - Rosol

(Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid)

SHAH ALAM, 5 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan perancangan secara komprehensif dengan mengenal pasti premis pembungkusan minyak masak mengikut lokaliti di setiap negeri.

Pada masa sama melaksanakan pemeriksaan mengejut untuk meneliti status sebenar jumlah (bekalan) minyak masak paket 1 kilogram yang dikeluarkan oleh premis pengeluar dan pembungkus minyak masak bersubsidi.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid dalam satu kenyataan memaklumkan pemeriksaan memfokuskan kepada tempat penyimpanan bekalan, serta pemprosesan pengeluaran dan pembungkusan minyak masak paket, selain mendapatkan deklarasi atau maklumat lengkap daripada pengusaha premis yang diperiksa berkaitan minyak masak yang dikeluarkan.

"Pegawai penguat kuasa di seluruh negara terus digerakkan secara agresif untuk memantau perlakuan tidak beretika seperti aktiviti menyorok barang kawalan khususnya minyak masak bersubsidi jenis paket 1kg demi memastikan keberadaan bekalan komoditi tersebut dan juga lain-lain barang makanan dalam lokaliti luar bandar dan pinggir bandar tidak terganggu, mencukupi dan mudah diperolehi pengguna pada harga berpatutan pada setiap masa," kata beliau dalam kenyataan tersebut hari ini.

Tambah Rosol, KPDNHEP sentiasa komited dan serius dalam mengurus cabaran ketirisan bekalan minyak masak bersubsidi dan memastikan penyaluran minyak masak bersubsidi sampai kepada golongan sasar, sekaligus dapat membantu meringankan beban kos sara hidup Keluarga Malaysia.


(Foto fail)

Terdahulu beliau memberitahu KPDNHEP hari ini turun padang menjalankan pemeriksaan secara bersasar di premis pembungkusan minyak masak bersubsidi utama di sekitar Shah Alam, Selangor serta Kelantan.

Pemeriksaan yang sama turut dijalankan di seluruh negara.

Pemeriksaan pertama di Selangor menyasarkan dua premis pembungkusan minyak masak bersubsidi di Bandar Pinggiran Subang, Shah Alam yang merupakan premis aktif beroperasi sebagai pembekal utama bekalan minyak masak di lokaliti Shah Alam serta keseluruhan negeri Selangor.

Terdapat juga pengedaran bekalan dibuat di Kuala Lumpur apabila adanya pesanan, manakala pemeriksaan di Kelantan pula lebih berfokuskan untuk mengelakkan penyeludupan.

Pemeriksaan tersebut digerakkan susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hasil daripada Mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) yang memutuskan pelaksanaan operasi pengauditan dan pemutihan terhadap pengeluar dan premis pembungkus minyak masak paket yang beroperasi di seluruh negara.

Media Baharu