PUTRAJAYA, 5 Julai- Komuniti antarabangsa perlu bekerjsama dan sedia berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi serta politik dunia pasca pandemik COVID-19.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, usaha itu penting ke arah masa hadapan dunia yang lebih aman, progresif, inklusif dan makmur.
Penularan pandemik COVID-19 telah mengajar semua bahawa cabaran global yang berlaku ketika ini tidak boleh diatasi secara bersendirian.
Justeru, beliau menyarankan komuniti antarabangsa bekerjasama dengan mengamalkan semangat “keluarga dunia" bagi mencapai jalan penyelesaian yang lebih baik dalam sebarang konflik.
"Cabaran yang dihadapi hari ini sebenarnya bukanlah baharu malah dalam keasyikan mengejar pertumbuhan ekonomi, kita kadang kala terleka untuk memberikan perhatian terhadap banyak perkara berkaitan permasalahan global. Disebabkan itu, kita terpaksa berdepan dengan masalah-masalah yang sudah menjadi semakin kompleks dan sukar untuk ditangani.
"Ini seharusnya menjadi ingatan kepada penggubal dasar tentang pentingnya kita menguruskan segera cabaran yang boleh mengakibatkan kesan buruk kepada generasi akan datang," kata Ismail Sabri dalam ucapannya ketika merasmikan Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-35 menerusi rakaman video.
Tambah beliau, antara cabaran yang dihadapi dunia termasuklah isu perubahan iklim yang memerlukan penyelesaian sepadan dan inovatif daripada sektor korporat serta kerajaan.
Dalam usaha mencari keseimbangan tersebut, Malaysia tetap komited kepada sasaran untuk menjadi negara sifar bersih karbon seawal tahun 2050.
(Foto Hiasan/Fail)
Sementara itu, rantau ASEAN seharusnya bersedia menghadapi persaingan kuasa-kuasa besar dengan bijak.
Jelas Datuk Seri Ismail Sabri, libat urus secara proaktif dengan kuasa-kuasa besar akan memberikan manfaat kepada rantau ini dengan syarat negara anggota mampu melakukannya.
Justeru, negara-negara ASEAN perlu terus kukuh dan produktif selain kekal menjadi paksi kepada libat urus serantau ke arah membentuk norma-norma baharu di rantau ini.
"Untuk itu, ASEAN juga memerlukan kombinasi mekanisme-mekanisme berbentuk dua hala, pelbagai hala dan bahkan minilateral dan juga kreativiti dan sokongan badan-badan bukan kerajaan untuk berjaya. Ketika persaingan antara kuasa-kuasa besar dunia menghasilkan cabaran yang tersendiri kepada rantau ini, ia tidak seharusnya memudaratkan," tambah Ismail.
Tambahnya, ASEAN juga harus terus memperkemaskan hubungan ekonomi dan diplomatiknya dengan Amerika Syarikat selain mengekalkan hubungan yang positif dan stabil dengan China yang merupakan rakan dagang utama ASEAN.
Semangat yang mengikat hubungan dua hala dan pelbagai hala diantara ketiga-tiga pihak mesti dipelihara dan diperkukuhkan berdasarkan kepada pematuhan undang-undang antarabangsa yang telah lama wujud.
Perdana Menteri turut menyentuh mengenai konflik politik sejagat seperti konflik di Myanmar, Palestin, dan perang Rusia-Ukraine telah mencetuskan krisis kemanusiaan yang serius.
Ujarnya, Malaysia menegaskan perperangan dan keganasan perlu dihentikan segera dan prinsip-prinsip dalam undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) harus dipatuhi.
"Masyarakat antarabangsa pernah bersatu teguh menangani masalah sejagat dengan memberi bantuan kemanusiaan, namun mereka masih dibelenggu isu ketidak samarataan dalam menangani krisis politik tertentu seperti dalam membantu pelarian dengan membezakan mereka “yang boleh diterima” dan juga sebaliknya," ulas lanjut Perdana Menteri.
Beliau turut menggesa agar semua pihak berpegang kepada nilai-nilai masyarakat antarabangsa yang inklusif dan mempunyai sikap perikemanusiaan sejagat serta tidak lagi mengulangi kesilapan-kesilapan lalu.