fb fb fb fb fb

PDRM bantu bendung ketirisan barangan bersubsidi

Kuala Lumpur, 5 Julai - Tangkapan dan rampasan operasi pengauditan serta Pemutihan minyak masak paket akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata operasi tersebut sebagai usaha membendung ketirisan barangan bersubsidi khususnya minyak masak.

Menurutnya, satu perjumpaan antara Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) dan Ketua Setiausaha KPDNHEP diadakan pada Isnin berkaitan perkara itu.

"Kami bersetuju melaksanakan operasi dengan tangkapan dan rampasan diserahkan kepada KPDNHEP bagi tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan malam Isnin.

Selain itu, Acryl Sani berkata pihaknya menerusi Op Kontraban berjaya merampas barangan bersubsidi bernilai RM38,247,518 yang diseleweng bagi tempoh Januari sehingga Jun tahun ini.

Katanya daripada jumlah itu, rampasan melibatkan minyak masak bernilai RM854,252.

"Sebelum ini polis melaksanakan Op Kontraban dalam usaha membendung ketirisan barangan bersubsidi.

"PDRM menyambut baik kerjasama Op Bersepadu yang dijalin dan akan menyokong penuh hasrat kerajaan untuk memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia dalam menghadapi cabaran kos sara hidup," katanya

(Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani/FOTO Fail)

Usaha bersepadu dengan pihak KPDNHEP merupakan langkah positif bagi PDRM menyumbang secara lebih efektif dalam membendung ketirisan subsidi.

Media Baharu