KANGAR, 2 September - Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) melalui pendekatan AIRED atau AI and Robotic Educational Club serta Junior AIRED, menjadi wadah penting melahirkan generasi celik teknologi di negeri Perlis.
Program ini bukan sahaja memberi pendedahan asas, malah membina kemahiran pengaturcaraan, robotik, kecerdasan buatan serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.
Pengerusi Eksekutif FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, pada tahun ini FCoEE menaja 40 pelajar daripada 12 sekolah rendah dan menengah di Perlis bagi mewakili FCoEE-MAIPs Malaysia ke pentas RoboCup Malaysia Open 2025 anjuran Malaysia AI & Robotic Society (MARS).
FCoEE turut menghantar tiga kumpulan bagi Liga Major yang terdiri daripada pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mewakili pasukan FCoEE-MAIPs.
“Mereka inilah yang kita raikan malam ini sebagai wira dan wirawati muda, berani melangkah keluar dari zon selesa untuk berjuang di gelanggang antarabangsa. Dengan sokongan padu daripada MAIPs, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, UniMAP dan rakan strategik, anak-anak ini telah membuktikan bahawa Perlis mampu melahirkan bakat hebat yang boleh menyaingi sekolah elit antarabangsa,” katanya pada Majlis Penghargaan Kejayaan Peserta RoboCup 2025 di Kangar.
Pasukan Prime-X FCoEE dan Prime-X Junior FCoEE yang melibatkan 10 sekolah rendah dan 7 sekolah menengah, mengharumkan nama Perlis serta Malaysia apabila dinobatkan Johan Keseluruhan RoboCup Malaysia Open 2025 yang berlangsung Ogos lalu.