fb fb fb fb fb

Fasiliti rosak di taman rekreasi perlu dibaiki segera-Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 14 JANUARI - Semua kemudahan dan fasiliti yang rosak di taman rekreasi perlu dibaiki segera.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata ini bagi memastikan prasarana sukan itu sentiasa berada di tahap terbaik demi kesejahteraan dan keselesaan pengguna.

"Saya amat berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membelanjakan duit untuk menaik taraf semua kemudahan rekreasi di Kuala Lumpur kerana ia merupakan sebuah bandaraya.

"Ramai yang perlukan tempat rekreasi dan kalau kita lihat di sini semua orang pelbagai peringkat, tua dan muda semuanya menggunakan fasiliti tersebut", katanya kepada pemberita selepas melakukan Walkabout sempena Tahun Baru Cina di Taman Tasik Manjalara di ibu negara.


(Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ditemui media semasa
Walkabout Tahun Baru Cina di Taman Tasik Manjalara, Kuala Lumpur)

Dalam pada itu, beliau turut akan memastikan semua pihak berkuasa untuk meneliti setiap penyelenggaraan yang dilakukan itu sempurna dan tidak merugikan rakyat.

"Kalau kita lihat trend di Malaysia memang kita membangunkan banyak infrastruktur, tetapi cara kita kekalkan penyelenggaraan itu ada kekurangan sekarang ini.

"Jadi saya tidak berminat untuk membina banyak infrastruktur baharu, tetapi saya mahu semua pihak berkuasa meneliti untuk kita pastikan penyelenggaraan itu sempurna,"ujarnya.

Terdahulu, Hannah Yeoh berkunjung ke Taman Tasik Manjalara untuk beramah mesra dengan penduduk sekitar Parlimen Segambut.

Beliau yang merupakan ahli parlimen di kawasan tersebut turut memberi sampul duit raya dan limau mandarin kepada orang ramai bersempena perayaan Tahun Baru Cina yang akan disambut tidak lama lagi.

Media Baharu