fb fb fb fb fb

Fasiliti PRF, kurang risiko pencemaran alam sekitar di pelabuhan

PELABUHAN KLANG, 14 April- Pembinaan fasiliti memproses sisa buangan kapal PRF di kawasan pelabuhan dapat mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata PRF yang pertama di negara ini mampu menampung 50,000 tan buangan sisa minyak dan bahan merbahaya di Pelabuhan Klang untuk tempoh setahun.

"Fasiliti yang ada di pelabuhan ini adalah projek pertama di negara kita.

"Jadi saya, bagi pihak Kementerian Pengangkutan mengalu-alukan pelaburan daripada pihak KL Petra yang menerokai pelaburan dalam bidang ini.

"Dan kita rasa ia akan memberi nilai tambah kepada pelabuhan yang merupakan satu projek bermanfaat kepada negara, bukan saja dari segi ekonomi tetapi juga alam sekitar," katanya.

(Menteri Pengangkutan, Anthony Loke)

Tambah Anthony, PRF turut membawa pulangan setelah sisa buangan kapal diproses, ia boleh dijual semula antaranya dalam bentuk Bitumin.

Projek tersebut dibangunkan Port Klang Port Reception Facility Sdn Bhd di Pelabuhan Barat menelan belanja RM60 juta dan dijangka siap dalam tempoh setahun.

Terdahulu, Anthony Loke menyempurnakan majlis pecah tanah projek tersebut yang turut dihadiri Pengurus Besar Port Klang Authority, Kapten K. Subramaniam dan Pengerusi Eksekutif, Datuk Shahrul Amirul, di sini hari ini.

Media Baharu