PUTRAJAYA, 14 April- Bilangan kediaman siap dibina tidak terjual turun kepada 27,746 unit, dengan nilai RM18.41 bilion tahun lepas; berbanding 36,863 unit, bernilai RM22.79 bilion pada 2021.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Johor mengekalkan jumlah dan nilai kediaman tidak terjual tertinggi diikuti Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
"Bawah RM300,000 ada lagi 6,509 unit yang tidak terjual dengan nilai RM1.34 bilion (23.5 peratus).
"Antara RM300,000 hingga RM500,000 yang tidak terjual 8,128 dengan nilai RM3.29 bilion atau (29.3 peratus).
"Manakala antara RM500,000 ke RM1 juta, yang paling banyak tidak terjual...ada 9,323 unit dengan nilai RM6.29 bilion atau (33.6 peratus) dan RM1 juta ke atas ada 3,786 unit dengan nilai RM7.5 bilion iaitu (13.6 peratus) katanya.
(Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan)
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Jabatan Penelitian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), di sini hari ini.
Jelasnya lagi harga kediaman melebihi kemampuan rakyat serta lokasi tidak strategik menjadi faktor kediaman siap dibina tidak terjual.
Justeru pemaju hartanah perlu membuat penelitian dan penilaian kemampuan milik pembeli di setiap negeri bagi penawaran harga kediaman di pasaran yang berpatutan.