fb fb fb fb fb

Fasiliti kesihatan terjejas banjir di Sarawak dan Sabah mula beroperasi

Penduduk terjejas banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Naim Paragon

KUALA LUMPUR, 3 Februari- Sebanyak 22 fasiliti daripada 30 di Sarawak manakala semua 27 fasiliti di Sabah telah mula beroperasi semula susulan kejadian banjir yang melanda kedua-dua negeri itu.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak dan Sabah telah menggerakkan pasukan perubatan dan pasukan kesihatan ke semua PPS terlibat.

"37 pasukan perubatan dan 30 pasukan kesihatan dari JKN Sarawak serta 16 pasukan perubatan dan 27 pasukan kesihatan dari JKN Sabah ke semua pusat pemindahan sementara (PPS) terlibat.

"Seramai 9,379 penduduk terjejas telah diperiksa dan diberikan rawatan di PPS. Daripada jumlah ini, kes penyakit berjangkit yang dilaporkan adalah 671 kes jangkitan salur pernafasan akut, 82 kes jangkitan kulit, 37 kes gastroenteritis akut, 17 kes konjunktivitis, dan satu (1) kes Penyakit Tangan, Kaki, dan Mulut dilaporkan.

"Tiada kes Chicken Pox, Tifoid, Leptospirosis, COVID-19, dan kejadian wabak dilaporkan di PPS," menurut kenyataan itu.

Pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) juga telah digerakkan terdiri daripada Pakar Perubatan Keluarga, Pegawai Perubatan, Pegawai Psikologi, anggota paramedik, serta anggota kesihatan daripada pelbagai kategori.

Dalam pada itu pelbagai aktiviti intervensi teknik relaksasi, ekspresi seni, serta psiko-pendidikan dijalankan.

KKM turut memaklumkan bahawa tiada mangsa banjir dikesan mempunyai masalah kesihatan mental yang memerlukan rujukan ke hospital.

Bagaimanapun KKM menasihatkan masyarakat untuk sentiasa mengutamakan keselamatan, menjaga kebersihan diri dan makanan, serta mengambil langkah bersesuaian untuk mencegah penyakit berjangkit.

"Orang ramai perlu sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa, memantau maklumat cuaca terkini, serta menyiapkan peralatan dan dokumen penting yang perlu dibawa bersama sekiranya perlu berpindah.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan dengan segera sekiranya menghadapi tekanan emosi," tambah kenyataan itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI