KUCHING, 3 Februari- Jumlah penduduk terjejas banjir yang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) terus berkurangan kepada 9,312 orang daripada 2,756 keluarga, setakat pukul 4.00 petang.
Kemaskini laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, enam buah PPS ditutup, iaitu Dewan Masyarakat Gedong, Dewan Sri Budaya Kampung Niup di Samarahan, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Arip di Sibu, SK Pangkalan Sorak, Balai Raya Kampung Melayu Balai Ringin di Serian dan SK SLDB Ladang 3 Mukah.
Manakala, sebuah PPS baharu dibuka iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebauh. Ini menjadikan terdapat 42 buah PPS yang masih aktif membabitkan 23 daerah negeri itu.
Daerah Bintulu merekodkan bilangan penduduk terjejas paling tinggi iaitu 4,744 orang daripada 1,415 keluarga.