fb fb fb fb fb

Fasa Peralihan Monsun, siap sedia hadapi banjir

KUALA LUMPUR, 13 Mac - Orang ramai terutamanya penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai diingatkan supaya bersiap sedia menghadapi banjir, berikutan Fasa Peralihan Monsun yang dijangka bermula Isnin hingga pertengahan Mei depan.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) , Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh kejadian ribut petir dijangka berlaku dan lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

Dalam satu kenyataan beliau menjelaskan, risiko kejadian banjir kilat akan meningkat dan sangat bergantung kepada keupayaan sungai, sistem saliran, kolam takungan, pintu air, rumah pam, pam mudah alih dan lain-lain infrastruktur banjir sedia ada.

(Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula 14 Mac ini hingga pertengahan Mei)

Sebagai persiapan, JPS sentiasa melaksanakan operasi dan kerja-kerja penyelenggaraan semua infrastruktur berkenaan secara berkala agar ia berfungsi dengan baik.

Ban dan tebing sungai juga sentiasa dipantau rapi untuk memastikan tindakan serta merta dilaksana apabila berlakunya kejadian ban pecah atau tebing runtuh.

Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang kini telah beroperasi penuh di Kelantan, Terengganu dan Pahang turut dilaksanakan.

Sistem ini meramal dan mengeluarkan amaran banjir untuk membantu pasukan penyelamat banjir dan masyarakat bersiap menghadapi banjir.

 

Media Baharu