fb fb fb fb fb

Fasa peralihan monsun, pengunjung dinasihat berwaspada di Ulu Bendul - MDKP

KUALA PILAH, 25 September- Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) memasang papan tanda amaran kejadian kepala air sebagai  peringatan kepada pengunjung di Taman Eko Rimba Ulu Bendul, Kuala Pilah.

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata langkah berjaga-jaga tersebut adalah berikutan kejadian hujan lebat disebabkan Fasa Peralihan Monsun yang dijangka berterusan sehingga November depan.

"Jadi, bagi mengatasi masalah ini terutama sekali kejadian kepala air di kawasan perkelahan atau pun pelancongan di Ulu Bendul, pihak pentadbiran pejabat daerah dan MDKP telah pun menyediakan papan tanda keselamatan sebagai peringatan kepada pengunjung.

Ia adalah untuk memberikan amaran kepada pengunjung yang datang ke Ulu Bendul supaya berhati-hati dan sentiasa memantau keluarga tersayang semasa mandi di kawasan berkenaan," kata Mohd Faizal kepada pemberita ketika ditemui di Kuala Pilah.

Penggunaan papan tanda itu adalah sebagai langkah awal pihaknya berikutan permohonan siren keselamatan di kawasan tersebut masih dalam tindakan penyelenggaraan oleh Jabatan Perhutanan Daerah Kuala Pilah.

Pihaknya juga sentiasa mengambil maklum sebarang insiden yang kemungkinan berlaku terutamanya ketika kejadian hujan lebat termasuk menutup kawasan Taman Eko Rimba Ulu Bendul untuk keselamatan pengunjung.


(Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap)

Media Baharu