fb fb fb fb fb

Fasa peralihan ke endemik bergantung kepada JKKPP


KUALA LUMPUR, 8 Februari- Keputusan melaksanakan fasa peralihan ke endemik bergantung kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 (JKKPP) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta turut melibatkan ahli-ahli parlimen pembangkang serta pakar-pakar kesihatan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata,fasa ‘peralihan ke endemik’ merupakan satu pendekatan menyeluruh dalam menuju hidup bersama COVID-19.

Jelasnya, terdapat tujuh tonggak di bawah pendekatan ini menerusi penelitian Kuartet.

“Antaranya pematuhan satu prosedur operasi standard (SOP) umum dan sembilan garis panduan, sistem amaran dan tindakan (Heightened Alert System – HAS) dan National Testing Strategy.

“Turut terkandung adalah TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, Seek); Automated FTTIS (Find, Test, Trace, Isolate, Support); pembukaan sempadan negara secara berperingkat serta duta-duta pemerkasaan komuniti,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kuartet Menteri di Wisma Pertahanan, di sini.

Hishamuddin berkata, sejak akhir-akhir ini banyak pihak mula bimbang susulan gelombang penularan varian Omicron serta peningkatan jumlah kes harian COVID-19.

"Setakat ini perancangan berkaitan fasa peralihan ke endemik di peringkat Kuartet Menteri COVID-19 telah selesai. Saya tahu banyak pihak mula bimbang susulan gelombang penularan Omicron sedang meningkat dalam kes harian tetapi kita tidak boleh berganjak daripada perancangan ke fasa seterusnya (endemik).

Tambahnya, bagi melaksanakan fasa peralihan ke endemik, sistem kesihatan negara khususnya penggunaan katil di wad dan unit rawatan rapi (ICU) perlu berada dalam keadaan terkawal.

“Seperti yang dapat dilihat daripada laporan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, biarpun jumlah kes harian terus meningkat, namun jumlah yang dirawat di wad dan Unit Rawatan Rapi adalah rendah.

“Ini menunjukkan sistem kesihatan negara berada dalam keadaan terkawal, selari dengan kenyataan Menteri Kesihatan semalam,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara besar-besaran di seluruh negara.

“Sekiranya berlaku peningkatan kes di sesuatu kawasan, hanya di lokaliti itu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan," katanya lagi.

Media Baharu