SIMPANG EMPAT, 27 Mac – Bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan dengan harga berpatutan menjelang Aidilfitri, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perlis menganjurkan Jualan Khas Semarak Syawal bermula hari ini hingga 29 Mac.
Program jualan khas itu diadakan di Pasar Tani Kekal Simpang Empat dan melibatkan penyertaan 50 usahawan bimbingan FAMA, yang memasarkan pelbagai produk industri asas tani serta industri kecil dan sederhana (IKS).
Menurut Exco Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan Perlis, Razali Saad, jualan kali ini menyasarkan nilai transaksi melebihi RM110,000 dalam tempoh dua hari penganjuran.
“Hari ini pihak FAMA telah menyediakan hampir 9.6 metrik tan barangan keperluan yang terdiri daripada 0.6 metrik tan daging lembu tempatan, 1.0 metrik tan ayam, 3.0 metrik tan ikan dan hasil laut, 2.0 metrik tan sayur dan buah-buahan serta 3.0 metrik tan beras putih tempatan,” katanya kepada media pada Majlis Pelancaran Jualan Semarak Syawal di sini pada Khamis.
Pengunjung jualan khas bakal menikmati penjimatan antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.
Selain itu, turut diadakan Jualan Happy Hour Kombo MADANI, yang menawarkan kombo ayam, sawi, beras pulut dan minyak masak 1 kilogram pada harga RM23 sahaja, berbanding harga asal RM28.
Inisiatif ini bukan sahaja membantu pengguna membuat persediaan menjelang lebaran dengan lebih jimat, malah turut merancakkan aktiviti ekonomi usahawan tani tempatan.