fb fb fb fb fb

Kerajaan peruntuk RM1.9 bilion untuk 1,660 bas baharu- MOF

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bercakap pada Sidang Media Tinjauan Operasi Perkhidmatan Rapid KL On-Demand di Depoh Rapid Bus Maluri hari ini / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Mac- Kementerian Kewangan memperuntukkan sebanyak RM1.9 bilion bagi pembelian 1,660 bas diesel dan elektrik baharu untuk kegunaan Prasarana Malaysia Berhad.

Menurut Menteri Kewangan Dua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, peruntukan itu melibatkan pembelian secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bagi memperkukuh sistem pengangkutan awam negara.

"310 bas diesel sudah ditempah dan penghantaran akan bermula Jun tahun ini, diikuti 250 bas elektrik yang akan mula dihantar hujung tahun ini. Tambahan 1,000 bas lagi akan dimasukkan dalam pelan pembelian," katanya.

Selain itu, kerajaan turut menyediakan RM55 juta untuk membeli 320 van yang akan beroperasi di 101 zon menjelang Jun ini bagi memperluas perkhidmatan pengangkutan awam.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menambah baik sistem pengangkutan awam serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Datuk Seri Amir Hamzah berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran sistem pembayaran terbuka RapidKL On-Demand, iaitu perkhidmatan van pengantara yang akan beroperasi di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE