fb fb fb fb fb

Siasatan kematian Prebet Muhammad Muqriz diserahkan kepada PDRM

Prebet Muhammad Muqriz Aseri, 22 tahun, anggota Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD)

KUALA LUMPUR, 27 Mac- Siasatan berhubung kematian Prebet Muhammad Muqriz Aseri di Kem Sri Miri akan diserahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memberikan kerjasama penuh bagi membantu pihak PDRM dalam siasatan insiden berkenaan.

"Kita percaya bahawa adalah wajar untuk kita lakukan siasatan sehingga habis, maka barulah apa-apa maklumat kita akan bagitahu. Kita tidak bagi sekerat-sekerat," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan.

Datuk Seri Mohamed Khaled berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2024 di ibu negara.

Prebet Muhammad Muqriz Aseri, 22 tahun, anggota Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik di Kem Sri Miri pada 25 Mac lalu.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi.

Hasil bedah siasat awal mendapati terdapat beberapa kecederaan pada tubuhnya, namun punca sebenar kematian masih dalam siasatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE