SUBANG, 27 Mac- Harga barangan asas sempena sambutan Aidilfitri kekal stabil tanpa sebarang kenaikan ketara hasil pemantauan berterusan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kawalan rapi yang dilaksanakan menjadikan tahun ini antara yang terbaik dalam sejarah pengurusan harga menjelang musim perayaan.
"Tahun 90-an saya pengerusikan Jawatankuasa Kabinet Kawalan Harga menjelang hari kebesaran seperti Hari Raya, Tahun Baharu Cina. Tahun ini, terima kasih kepada KPDN, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta syarikat seperti Mydin.
"Ini kali pertama dalam sejarah yang saya ingat, sebelum atau menjelang hari kebesaran, harga terkawal, tiada kekurangan barang dan dapat memastikan harga turun, terutama seperti telur dan pelbagai barangan lain," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Kempen Turun Harga dan Peletakan Logo Malaysia MADANI di Pasaraya Mydin, Subang.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali dan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin.