LANGKAWI, 27 Mac– Lebih 4,500 kenderaan dijangka menggunakan perkhidmatan feri kenderaan (RoRo) sempena perayaan Aidilfitri tahun ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) merangkap Pengerusi Langkawi Port Sdn Bhd, jumlah kenderaan keluar dari Langkawi bagi tempoh lima hari, bermula 26 hingga 30 Mac 2025, dianggarkan sebanyak 2,234 kenderaan, meningkat hampir 16 peratus berbanding tahun lalu.
Sementara itu, jumlah kenderaan yang memasuki Langkawi dari Kuala Perlis dalam tempoh yang sama dianggarkan sekitar 2,300 kenderaan.
Bagi jumlah penumpang yang tiba ke Langkawi dari tanah besar, angka dijangka mencecah 4,500 orang dan boleh meningkat sehingga lebih 7,000 orang menjelang puncak pergerakan perayaan.
Tambah beliau, jumlah kenderaan dibawa keluar ke tanah besar sempena Aidilfitri tahun ini adalah yang tertinggi sejak tahun 2022 iaitu sebanyak 1,626, manakala pada 2023 sebanyak 1,701 dan tahun lepas sebanyak 2,234 kenderaan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Selamat Pulang Perantau di Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi, hari ini.
Untuk rekod, program tahunan itu pertama kali diadakan pada tahun 2014, setahun selepas perkhidmatan RoRo Feri ditawarkan di dermaga tersebut pada 2013, dan kini memasuki siri ke-12.