fb fb fb fb fb

Emas jadi pilihan menjelang Aidilfitri walau harga tinggi

Gambar hiasan

CHANGLUN, 27 Mac – Emas terus menjadi pilihan utama sebagai perhiasan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, meskipun harganya kini mencecah lebih RM430 segram.

Tinjauan RTM di sekitar Alor Setar dan Kubang Pasu mendapati kebanyakan kedai emas diserbu pembeli, yang bukan sahaja membeli untuk perhiasan tetapi juga sebagai pelaburan jangka panjang kerana bimbang harga emas akan terus meningkat.

Seorang pembeli, Nornadia Mohd Johan, berkata beliau tidak teragak-agak membeli emas dengan rezeki awal yang diterima menjelang lebaran.

“Rezeki anak ada, dapat duit raya awal, jadi kita ‘park’ lah kat emas. Kita tahu pelaburan emas ni bagus sebab sekarang harga tengah naik. Sebelum ambil risiko dia naik lagi, baik saya beli sekarang,” katanya.

Selain barang kemas, pembelian emas dalam bentuk jongkong atau gold bar turut mendapat sambutan.

Malah, ada yang menjadikan emas sebagai ganti duit raya.

Pemilik kedai emas, Muhamad Nur Aiman Mohd Yusop, berkata trend pemberian dinar raya kini semakin mendapat tempat dalam kalangan pelanggan.

“Sekarang ni orang dah mula bagi dinar emas sebagai duit raya. Dia bubuh dalam sampul, jadi dinar raya, bukan duit raya dah. Ramai beli untuk bagi mak ayah atau adik-beradik,” katanya.

Sementara itu, wakil pembeli emas terpakai, Nurul Haida Ab Halim, berkata, kenaikan harga emas turut mendorong individu termasuk berpendapatan tinggi untuk menjual emas bagi keperluan hari raya dan kecemasan.

“Kadang-kadang orang berpendapatan tinggi pun jual juga untuk kegunaan lain, macam persiapan sekolah. Sekarang ni sebab harga tinggi, ramai ambil peluang untuk jual,” ujarnya.

GRACE AISYAH KEDAYAN