fb fb fb fb fb

Bantuan Khas Banjir MTL di Johor mula diagihkan di enam daerah terjejas

Penyampaian bantuan banjir daerah Kulai

JOHOR BAHRU, 27 Mac- Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) sebanyak RM3,000 mula diagihkan serentak di enam daerah yang terjejas hari ini.

Ia melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM11.2 juta kepada 3,749 ketua isi rumah yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS).

Antara lokasi penerima bantuan tersebut pada pagi tadi adalah di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Skudai, membabitkan 300 penerima yang berlindung di tiga PPS semasa banjir, baru-baru ini.

Penerima yang ditemui menzahirkan rasa syukur atas sumbangan yang diberikan sekali gus meringankan beban mereka menjelang Hari Raya Aidilfitri.

"Oh bahagianya, Allah sahaja yang tahu. Bahagia sangat-sangat. Jadi, tak boleh cerita banyak. Syukur Alhamdulillah. Syukur sangat bahagia.Terima kasih banyak-banyak pada yang menyumbang", kata penerima bantuan, Zainon Abdul Wahab.

"Ya Allah. Tak tahu nak cakap apa. Macam beban kita rasa berkurangan. Kalau tak ada apa-apa bantuan, macam sedih sangatlah. Sebab rumah pun macam dah tak tahu nak cakap, tiada apa-apa. Macam baju pun kita pun pinjam, tudung pinjam. Memang tidak ada apa-apa sebab nak basuh, mesin basuh telah hanyut", kata penerima bantuan, Kamisah Omar.

"Habislah semua barang. Yang boleh guna buat masa ini, kita cuma cuba satu-satu barang yang kita nak keringkan barang-barang. Kita akan cuba, kalau boleh pakai, syukur alhamdulillah", ujar penerima bantuan, Rahmat Idrus.

"Dah tak ada benda, barang elektrik rosak seperti peti ais, mesin basuh. Baju-baju memang tidak boleh pakai", kata penerima bantuan Hashim Rahman.

Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir (MTL), selain bantuan sempena Hari Raya Aildilfitri.

ROSLINA BINTI DIN