fb fb fb fb fb

FAMA sasar JTDLKM capai nilai jualan RM10.5 juta

MARANG, 9 Julai - Program khas Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu menyasarkan nilai jualan sebanyak RM10.5 juta hingga akhir tahun ini.

Program di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu turut melibatkan 8,400 usahawan dengan kekerapan 840 kali penganjuran di 70 buah lokasi seluruh negara.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata daripada jumlah kekerapan tersebut, sebanyak 267 program telah dilaksanakan sehingga 3 Jun lalu dengan nilai jualan RM3.1 juta.

Program tersebut juga sekali gus dapat memendekkan rantaian pemasaran agromakanan bagi memberi harga yang terbaik kepada pengguna.

Nilai penjimatan yang diperolehi pengguna sekurang kurangnya lima hingga 10% dari harga pasaran setempat.


(Datuk Zainal Abidin Yang Razalli membuat tinjauan jualan di Tapak Pasar Malam Medan Jaya,
Marang, Terengganu)

"Apabila kita secara puratanya menawarkan harga 10% lebih rendah dari pasaran biasa, maka pengguna, apa yang dikatakan teori lebihan pengguna itu telah dapat dinikmati oleh pengguna, sepatutnya pengguna bayar RM3.1 juta, keseluruhan tapi dengan penjimatan 10%, RM300,000 dipulangkan balik kepada pengguna, inilah usaha kerajaan membantu rakyat semasa dalam program ini," kata beliau selepas membuat tinjauan jualan di Tapak Pasar Malam Medan Jaya, di sini.

Di negeri Terengganu, program ini telah dianjurkan di 22 lokasi melibatkan 359 usahawan dengan nilai jualan RM560,000.

Program itu turut mendapat kerjasama lima agensi lain termasuk Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Pertubuhan Peladang Kebangsaan dan Persatuan Nelayan Kebangsaan.

Media Baharu