fb fb fb fb fb

Terperdaya sindiket kerja di Kemboja, empat lagi rakyat Malaysia dibawa pulang

(Empat warganegara Malaysia selamat tiba dari Kemboja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini,
mereka telah diselamatkan dari sindiket tawaran perkerjaan di negara itu/Foto BERNAMA)

SEPANG, 9 Julai - Empat lagi rakyat Malaysia yang diperdaya dengan iklan peluang pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan di Kemboja berjaya dibawa pulang ke tanah air hari ini.

Kumpulan itu tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 2 petang menaiki penerbangan MH755.

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dengan kepulangan empat mangsa ini, menjadikan sejumlah 54 rakyat Malaysia yang terpedaya dengan modus operandi yang sama dari pelbagai negara berjaya diselamatkan setakat ini.


(Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hussien Omar Khan menjawab
pertanyaan media mengenai empat warganegara Malaysia yang dibawa pulang dari Kemboja/Foto BERNAMA)

"Dan dalam rekod PDRM kita ada dalam sejumlah 135 (rakyat) yang masih berada di luar negara yang sedang dikesan melalui kerjasama negara berkaitan, untuk usaha ini, PDRM telah menubuhkan satu 'task force' (pasukan petugas) yang melibatkan pelbagai agensi dan juga antara agensi dalam PDRM sendiri untuk berkongsi maklumat," kata beliau kepada pemberita selepas keempat-empat warganegara berumur lingkungan 29 hingga 41 tahun itu selamat tiba di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Sementara itu, Kementerian Luar merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Kemboja dan kerjasama erat yang diberikan Kedutaan Besar Malaysia di negara itu dalam memudahcara urusan yang berkaitan bagi membolehkan mereka kembali ke tanah air dengan selamat.

Orang ramai dinasihat untuk sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan di luar negara bagi memastikan mereka tidak terjebak dalam sindiket sedemikian.

Media Baharu