SELAYANG, 3 Mac - Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) sempena intervensi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berjaya mencatatkan nilai jualan RM3.64 juta sejak Januari hingga Febuari tahun ini.
Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata JTDL melibatkan 2,827 usahawan di 203 lokasi di seluruh negara.
Katanya, inisiatif berkenaan merupakan platform kepada para pengguna bagi mendapatkan barangan keperluan serta memberi ruang pasaran kepada usahawan.

"Fokus kita adalah komoditi-komoditi yang menjadi keperluan harian seperti ayam, daging, ikan, sayur-sayuran, buah-buahan, telur, minyak masak dan sebagainya.
"Jadi kita fokuskan kepada barangan yang berkenaan untuk membantu pengeluar sekaligus untuk membantu pengguna dalam menyahut seruan kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan program JTDL di ibu pejabat FAMA, di sini.
Dalam perkembangan lain, Zainal berkata FAMA akan bekerjasama dengan beberapa pengeluar telur bagi mendapatkan bekalan untuk dihantar ke kawasan yang memerlukan.
"Setakat ini, lebih 16 juta biji telur berjaya diedarkan ke seluruh negara. Program Intervensi itu akan diteruskan sehingga hujung tahun ini," katanya.