fb fb fb fb fb

FAMA Perlis edar lebih 186,000 telur ayam bagi penuhi permintaan pengguna

(Pengarah FAMA Perlis, Mohd Sharizan Mansor ditemu bual media semasa meninjau proses 
 penerimaan telur ayam untuk agihan ke outlet FAMA seluruh Perlis)

KANGAR, 13 Januari - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis mengedarkan lebih 186,000 telur ayam bagi memenuhi permintaan pengguna di seluruh Perlis.

FAMA Perlis mula menerima bekalan telur ayam daripada Melaka sejak pertengahan Disember lalu hingga hari ini dengan purata sebanyak 45,000 biji setiap minggu.

Pengarahnya, Mohd Sharizan Mansor berkata, pihaknya mengagihkan bekalan telur ayam kepada 15 outletnya terdiri daripada usahawan bimbingan FAMA seperti AgroBazaar Rakyat, Pasar Tani dan Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR).

Telur yang dibekalkan FAMA sekurang-kurangnya dapat menampung bekalan sumber makanan berkenaan yang terjejas sebelum ini disebabkan berlakunya kekurangan pengeluaran dan dijual mengikut harga kawalan ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

(Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis mengedarkan lebih 186,000 telur ayam
bagi memenuhi permintaan pengguna di seluruh Perlis)

Selain telur gred A, B dan C pihaknya turut membekalkan telur omega yang turut mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna walaupun harganya lebih mahal berbanding telur biasa.

"Perlis ini bukanlah pengeluar telur ayam dan kita memang kata orang mendapatkan bekalan 100 peratus daripada negeri-negeri lain, contohnya negeri-negeri pengeluar telur ini sebenarnya banyak di Perak dan di Melaka, di Johor, jadi bila kita melihat berlakunya pengurangan pengeluaran di peringkat ladang, jadi kita cuma mendapat bekalan daripada Melaka sahaja, yang kata yang sanggup atau berusaha untuk membekalkan bekalan untuk menampung keperluan di Perlis inilah," kata beliau ketika ditemui media di Pejabat FAMA Negeri Perlis semasa meninjau proses penerimaan telur ayam untuk agihan ke outlet FAMA seluruh Perlis yang akan dilaksanakan pada Sabtu dan Ahad.

FAMA Perlis akan terus membekalkan telur-telur ayam secara berkala mengikut keperluan di setiap outlet terlibat yang mana bekalan ini mampu menampung permintaan tinggi pengguna.

Media Baharu