fb fb fb fb fb

FAMA dan Jabatan Pertanian pantau jualan harumanis di Perlis

Foto Facebook FAMA Negeri Perlis

KANGAR, 28 Mac - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis telah bekerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri Perlis untuk melaksanakan pemantauan penjualan harumanis di Perlis yang sedang bermula ketika ini.

Tindakan tersebut berikutan pelbagai aduan diterima pembeli khususnya dari luar Perlis yang ditipu penjual harumanis dengan meletakkan nama harumanis pada buah mangga yang lain.

Menurut Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan dalam satu kenyataan, berkuatkuasa semalam pasukan penguat kuasa FAMA Perlis bersama-sama Jabatan Pertanian telah digerakkan ke seluruh Perlis dengan melakukan Inspektorat dan Pemeriksaan pematuhan peraturan Pengredan, Pembungkusan dan Pelabelan Harumis.

Sebanyak enam buah gerai buah-buahan segar (GBBS) FAMA dan gerai buah-buahan swasta di sekitar Perlis telah diperiksa pasukan penguat kuasa yang diketuai Timbalan Pengarah (Pembangunan) FAMA Negeri Perlis, Mohd Fakrul Hayat Abdullah.

"Pemeriksaan dan inspektorat ini adalah untuk memastikan pengusaha mematuhi peraturan yang ditetapkan di samping menyampaikan maklumat berkaitan Pengredan, Pembungkusan dan Pelabelan Harumis.

"Pihak FAMA dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri turut menyerahkan gegantung pengenalan harumanis yang menjadi sebahagian daripada kempen kesedaran awal bagi mengelakkan pelanggan tertipu semasa pembelian harumanis dibuat," kata kenyataan itu.

Pemantauan akan dilaksanakan secara berkala di seluruh Perlis sepanjang musim harumanis yang bermula Mac ini dan dijangka hingga penghujung Julai.

TETITIA YUSOFF