fb fb fb fb fb

PPDP wajib patuhi standard minimum untuk menjalankan operasi - AADK

Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon

ALOR GAJAH, 28 Mac- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan melaksanakan pemantauan secara menyeluruh agar semua Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) mematuhi standard operasi minimum untuk menjalankan operasi.

Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon berkata, walaupun pelbagai pendekatan digunakan, setiap pusat pemulihan perlu mengikut peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Mengulas lanjut, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang permasalahan dan sebarang pelanggaran operasi minimum akan menyebabkan setiap PPDP berdepan tindakan penutupan.

"Kita akan kaji semula minimum standard itu. Kalau terdapat pelanggaran, kita akan laksana kawalan sewajarnya bermakna kita akan maklum kepada pengusaha bahawa dia kena patuh dengan minimum standard itu."

"Jika dia tidak boleh patuh, kita akan ambil tindakan peringatan, dengan peluang untuk mereka baiki. Kalau tidak, kita akan batalkan pendaftaran mereka, bagaimanapun setakat ini, kes seperti kita masih tunggu siasatan," kata Sutekno kepada pemberita selepas Majlis Iftar Jamaie di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Pulau Sebang, di sini.

Terdahulu, tular di media sosial kes buli melibatkan mangsa di sebuah PPDP dipercayai didera dan dibelasah sehingga buta di sebuah pusat pemulihan dadah persendirian di Lenggeng.

Kes berkenaan bagaimanapun masih dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihaknya turut mengeluarkan surat peringatan kepada pusat pemulihan berkenaan.

Berdasarkan pemeriksaan, pusat berkenaan tidak mematuhi piawaian minimum yang ditetapkan khususnya dalam aspek tempat tinggal, kapasiti penghuni dan ruang untuk menjalankan aktiviti.

AADK turut menawarkan kepada semua penghuni pusat berkenaan untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan secara sukarela di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) atau program Rawatan dan Pemulihan dalam Komuniti (RPDK) di Pejabat AADK Daerah yang terlibat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM