fb fb fb fb fb

Fahmi zahir dukacita atas pemergian wartawan Tan Zhi Wei

Wartawan Kwong Wah Yit Poh, Tan Zhi Wei meninggal pada usia 35 tahun

KUALA LUMPUR, 20 November – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menzahirkan rasa dukacita dengan berita pemergian wartawan Kwong Wah Yit Poh, Tan Zhi Wei, yang meninggal dunia akibat meningitis petang tadi.

Fahmi menerusi hantaran di Facebook berkata, Zhi Wei merupakan Ketua Bahagian Meja Berita Am di organisasi media tersebut dan amat terkesan atas pemergian wartawan berusia 35 tahun itu.

"Kehilangan ini sememangnya dirasai, apatah lagi kerana mendiang pernah beberapa kali membuat liputan acara yang saya hadiri," katanya.

Beliau turut mendoakan agar keluarga mendiang tabah menghadapi ujian ini dan mengucap takziah kepada seluruh warga Kwong Wah Yit Poh.

"May his soul rest in peace," tambahnya.

Zhi Wei yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur akan dikebumikan di kampung halamannya di Batu Pahat, Johor pada Jumaat ini.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN