fb fb fb fb fb

Fahmi ucap takziah atas pemergian wartawan veteran, Fauziah Rauf

Allahyarhamah Fauziah Rauf/ Foto Facebook Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 25 Mei - Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga wartawan veteran Fauziah Rauf, yang meninggal dunia hari ini.

Beliau berkata pemergian allahyarhamah pastinya dirasai oleh seluruh warga media yang pernah bekerjasama dengan allahyarhamah.

Allahyarhamah adalah penerima Tabung Kasih@HAWANA pada 2023, satu inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

"Semoga roh allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan para solihin," kata Datuk Fahmi menerusi hantaran Facebook.

Allahyarhamah Fauziah, 81, yang juga antara pengarang wanita terawal, meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira 1.00 pagi tadi akibat pendarahan di kepala.

Allahyarhamah yang juga Pengasas Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) pernah menerima Anugerah Tokoh Wartawan Hiburan, sempena Majlis Anugerah Kewartawanan Industri Perfileman Malaysia (AKIFMA) anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dan FINAS pada 2017.

Selain berpengalaman lebih 20 tahun sebagai wartawan di Utusan Malaysia, Allahyarhamah turut menjadi perintis dan wanita pertama di negara ini yang menerbitkan akhbar seperti Mingguan Famili, Pentas Dunia dan majalah Hawa sekitar 80-an.

Allahyarhamah Fauziah juga antara individu yang bertanggunggjawab menjadi pengganjur bersama dengan membawa artis Malaysia ke Festival Music Voice of Asia di Kazakhstan saban tahun pada era 1990-an antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin, Ziana Zain, Erra Fazira, Anis Suraya dan kumpulan Slam.

TETITIA YUSOFF