fb fb fb fb fb

11 agenda utama dibincang dalam AECC ke-25 fokus perkukuh kerjasama ASEAN

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Mei - 11 agenda utama dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-25 yang bersidang hari ini di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia memfokuskan usaha memperkukuh kerjasama antara negara anggota blok serantau itu.

Katanya, persekitaran ekonomi semasa memerlukan kerjasama dan komitmen dalam memajukan kepentingan bersama sesama negara-negara ASEAN.

"Pada masa sama, kita juga perlu meneliti cara untuk meningkatkan perdagangan intra-ASEAN bagi mengurangkan kebergantungan terhadap rakan luar," kata Tengku Datuk Seri Zafrul dalam ucapan pembukaan.

Beliau turut menekankan bahawa respons ASEAN terhadap perubahan dasar ekonomi terkini Amerika Syarikat (AS) setakat ini telah dilakukan menerusi penilaian secara bijaksana.

"Daripada memilih tindakan balas, kita memilih dialog dan kerjasama dengan komitmen jelas oleh Negara Anggota ASEAN (AMS) untuk tidak melaksanakan langkah timbal balik, menekankan bahawa komunikasi terbuka adalah kunci kepada hubungan yang seimbang dan mampan.

"Pendirian berhati-hati ini telah berjaya mengelakkan peningkatan ketegangan dan mengekalkan asas keterlibatan bukan sahaja dengan AS tetapi juga dengan ekonomi utama lain," katanya lagi.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Tengku Zafrul itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong; Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei Datuk Dr Awang Mohd Amin Liew Abdullah; Menteri Perdagangan Kemboja Cham Nimul; Menteri Industri dan Perdagangan Vietnam Nguyen Hong Dien; Menteri Perdagangan Indonesia Budi Santoso; serta Menteri Perindustrian dan Perdagangan Laos Malaithong Kommasith.

Turut hadir ialah Setiausaha Rendah Jabatan Perdagangan dan Industri Filipina Allan B. Gepty; Timbalan Perdana Menteri Singapura Gan Kim Yong; Menteri Perdagangan Thailand Pichai Naripthaphan dan Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste Francisco Kalbuadi Lay.

TETITIA YUSOFF