KUALA TERENGGANU, 25 Mei– Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menggalakkan kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), untuk memanfaatkan pemasangan sistem Fotovoltaik Suria.
Ia akan berfungsi sebagai platform pelaporan, pemantauan dan penyelarasan projek-projek tenaga hijau seperti NEM GoMen.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata bahawa inisiatif itu dapat memudahkan pelaksanaan program pembangunan mampan seperti pemasangan panel solar dan inisiatif tenaga boleh diperbaharui di seluruh negara.
"Di Kuala Terengganu, kita lihat kejayaan pemasangan panel solar di bangunan kerajaan termasuk tempat letak kereta berbumbung di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
"Ini bukan sahaja memberi perlindungan kepada kenderaan, malah menjimatkan kos tenaga hingga RM218,000 setahun untuk tempoh 25 tahun," katanya ketika membuat tinjauan pemasangan solar rooftop & Carpark @ Menara MBKT di sini.
Datuk Seri Fadillah turut menyentuh keperluan menyesuaikan dasar pembangunan mengikut keperluan setempat, seperti rancangan tebatan banjir di Kelantan dan pengurusan hakisan pantai di Terengganu.
Di Kelantan, isu bekalan air, hakisan sungai dan pembersihan kawasan perumahan turut diberi perhatian.
Beliau turut menekankan peranan Skuad PETRA, satu inisiatif kementerian yang membawa kepimpinan turun padang untuk menilai keberkesanan dasar dan program kerajaan secara langsung.
"Kita mahu pastikan segala dasar ini benar-benar sampai ke peringkat akar umbi. Maklum balas daripada rakyat, kerajaan negeri dan pihak industri sangat penting bagi menambah baik perancangan dan pelaksanaan pada masa depan," ujarnya.
Terdahulu, Datuk Seri Fadillah turut mengadakan lawatan kerja sempena hari kedua program PETRA Skuad Zon Timur.
Tinjauan terakhir PETRA Skuad Zon Timur diakhiri ke Loji Jana Kuasa Biogas, Kemaman.