fb fb fb fb fb

Fahmi menghadap TYT Pulau Pinang, persembah Warkah Persilaan ke Istiadat Pertabalan Agong

Foto RTM

GEORGETOWN, 6 Jun- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini menghadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bagi mempersembahkan Warkah Persilaan ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim.

Sesi menghadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak diadakan di kediaman rasmi, Seri Mutiara, di sini.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong sebelum ini turut menghadap Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bagi tujuan sama.

Fahmi yang tiba di perkarangan Seri Mutiara pukul 4.50 petang itu terlebih dahulu menyerahkan warkah persilaan sebelum menghadiri jamuan minum petang.

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim dijadual akan berlangsung 20 Julai depan di Istana Negara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD