KUALA LUMPUR, 6 Jun- Seorang pemuda tempatan dipercayai dilarikan ke Myanmar selepas ditipu sindiket yang menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan di sebuah syarikat pelaburan besar di Singapura.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pemuda berusia 27 tahun itu sempat berkomunikasi dengan ahli keluarga namun enggan mendedahkan lokasi sebenarnya ketika ini.
"Pada peringkat awal kita tak tahu dia berada di Myanmar. sebab dimaklumkan ada di Thailand. Tetapi saya hampir pastilah kalau dah sampai Thailand ini saya hampir pasti mangsa akan dibawa masuk ke Myanmar melalui jalan measot, jalan yang biasa yang kita tahu.
"Untuk makluman, mangsa telah pergi pada 29 Mei pada 4 Jun, mangsa menghubungi adiknya memaklumkan yang dia telah berada di luar negara. seperti biasa minta wang tebusan sebanyak USD25,000," katanya dalam sidang media di ibu negara.
Menurut adik kembar mangsa, Hooi Siew Wen, dia menerima panggilan WhatsApp daripada abang kembarnya dan memberitahu dia sudah berada di Thailand dan telah dikawal oleh beberapa individu.
"Kali ketiga abang saya buat panggilan semula, dia beritahu cerita lain lagi, dia nak minta duit sekurang-kurangnya USD25,000.
"Saya tanya macam mana bagi duit, saya suruh kongsi lokasi namun dia enggan beri. Transaksi itu perlu dilakukan secara dalam talian. Apabila saya bayar, majikan akan lepaskan abang saya, namun apabila ditanya berkenaan jaminan itu, dia tak jawab," katanya.
Ketika ini MHO sedang bertungkus lumus mengesan kedudukan mangsa berkenaan menerusi pasukan penyelamat khas yang berada di Kemboja.