fb fb fb fb fb

Era baharu kerjasama serantau, saling bergantung secara berdaulat

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Meja Bulat Kuala Lumpur Mengenai Kerjasama Serantau Asia Pasifik di Forum BOAO Untuk Asia, di ibu negara, hari ini/Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan pentingnya mewujudkan era baharu kerjasama serantau yang berasaskan konsep saling bergantung secara berdaulat atau 'sovereign interdependence'.

Beliau berkata prinsip kedaulatan dan solidariti yang diperjuangkan sejak Persidangan Bandung, Indonesia, 70 tahun lalu kekal relevan dan perlu diperbaharui bagi menghadapi cabaran perdagangan global, perang teknologi serta tekanan geopolitik masa kini.

"Kita mesti berinteraksi dengan dunia secara bebas tetapi atas terma kita sendiri. Ini bukan penolakan terhadap globalisasi, sebaliknya usaha untuk membentuknya semula supaya negara berdiri teguh atas kaki sendiri sambil tetap bekerjasama, sekali gus menolak dominasi kuasa besar dalam menentukan hala tuju ekonomi dunia," tegas Datuk Seri Anwar.

Ucapan itu disampaikan pada Meja Bulat Kuala Lumpur Mengenai Kerjasama Serantau Asia Pasifik di Forum BOAO Untuk Asia, di ibu negara, hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon, bersama tokoh akademik dan pemimpin serantau.

Tambah Perdana Menteri, sistem perdagangan dunia kini berada dalam keadaan lemah dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dilihat lumpuh, sementara kuasa ekonomi besar menggunakan tarif, sekatan eksport dan sekatan kewangan secara sewenang-wenangnya.

Keadaan ini katanya, mencetuskan ketidaktentuan dan kerentanan baharu apabila sumber tenaga, laluan perkapalan dan rantaian bekalan semikonduktor dijadikan alat politik dan ekonomi.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI