JOHOR BAHRU, 27 Ogos - Sidang Kemuncak Perniagaan dan Ekspo Johor pada Oktober depan mampu menjadi pemangkin utama kepada usahawan negeri itu meneroka pasaran global, seiring usaha menjadikan Johor sebagai hab perniagaan serantau.
Lebih 10 negara turut terlibat termasuk Indonesia, Singapura, China, Amerika Syarikat dan Jerman — bukti Johor kini menjadi tumpuan pelaburan serta pusat jaringan ekonomi antarabangsa.
Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata acara itu dijangka memberi impak besar kepada pertumbuhan usahawan negeri Johor.
"Program ini digalakkan kepada semua usahawan, tidak kira latar belakang, sama ada berniaga di tepi jalan ataupun memiliki gedung perniagaan yang besar.
"Inisiatif ini menjadi platform jaringan (networking) antara usahawan kecil dengan usahawan berjaya, supaya mereka dapat memperoleh idea, pengalaman dan inspirasi untuk mengembangkan perniagaan, termasuk berpeluang memasarkan produk di peringkat lebih tinggi seperti dalam kapal terbang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas prapelancaran Sidang Kemuncak Perniagaan dan Ekspo Johor 2025 di sini.
Beberapa panel turut akan menyertai sidang berkenaan untuk berkongsi pandangan dan pengalaman mereka dalam bidang keusahawanan dan pasaran produk.
Manfaat yang ditawarkan dijangka memberi impak besar kepada Pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Negeri Johor, seiring agenda Maju Johor 2030 dalam melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing di pasaran global.