fb fb fb fb fb

ePEMULA pupuk budaya transaksi tanpa tunai, ringankan beban keluarga Malaysia

CYBERJAYA, 15 April - Program ePemula bertujuan memupuk budaya transaksi tanpa tunai dalam kalangan belia di samping meringankan beban kewangan Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata program akan memperkasa dan membudayakan sistem kewangan digital bagi memastikan kemajuan inklusif untuk semua lapisan rakyat serta perniagaan.

"Pada masa yang sama, kerajaan sedar generasi muda dan teknologi digital juga sememangnya saling berkait rapat. Hampir semua golongan belia hari ini menggunakan teknologi digital sebagai gaya hidup.

"Ini termasuk untuk berinteraksi sesama rakan, menimba ilmu pengetahuan atau melakukan transaksi kewangan tanpa tunai. Dikenali sebagai 'digital natives', golongan belia memainkan peranan penting dalam menggerakkan agenda digitalisasi di Malaysia," katanya.

Beliau berucap demikian pada majlis pelancaran ePemula di Universiti Multimedia, di sini hari ini.

Ismail Sabri berharap golongan belia yang layak dapat membelanjakan ePemula secara bijak untuk menyokong perniagaan tempatan terutama Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terjejas akibat COVID-19.

(Ismail Sabri berucap pada majlis pelancaran ePemula hari ini)

Menurut beliau, sekiranya lebih banyak perniagaan pulih, negara dapat memperoleh lebih banyak hasil sekali gus ramai rakyat terutama golongan B40 boleh dibantu.

Program ePemula di bawah Bajet 2022 merupakan insentif kredit etunai sebanyak RM150 membabitkan peruntukan RM300 juta dijangka memanfaatkan seramai 2 juta orang belia seluruh negara berumur lingkungan 18 hingga 20 tahun.

"Belia yang layak akan mendapat kredit sebanyak RM150 dalam edompet pilihan mereka iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay atau Touch ‘n Go eWallet.

"Saya difahamkan keempat-empat penyedia edompet ini juga memberikan insentif tambahan dalam bentuk baucar, mata terkumpul, diskaun dan banyak lagi manfaat menarik sepanjang tempoh program ini," kata Ismail Sabri.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan komited untuk terus menggalakkan pembayaran secara elektronik dalam kalangan peniaga dan pengguna bagi mewujudkan masyarakat Keluarga Malaysia tanpa tunai.

"Pada masa ini, semakin ramai usahawan dan para peniaga, termasuk PMKS bertransaksi secara etunai.Pengguna juga semakin yakin dengan penggunaan etunai melalui pelbagai edompet.

"Ini jelas terbukti apabila transaksi etunai berkembang dengan ketara sebanyak RM50.5 bilion pada tahun 2021, berbanding RM29.6 bilion pada tahun 2020," jelas beliau.

Media Baharu