fb fb fb fb fb

Enam pekerja cedera bas kilang terbabas di selekoh berbukit

Bas kilang membawa 30 pekerja terbabas di selekoh berbukit/Foto Bomba

AYER ITAM, 11 Ogos - Enam pekerja kilang wanita warga Indonesia cedera ringan selepas bas dinaiki 30 penumpang itu terbabas di selekoh berbukit berhampiran Suria Vista Apartment, Jalan Paya Terubong, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.24 pagi, bas terbabit dari Kampung Jawa menghala ke Paya Terubong itu dipercayai mengalami masalah sistem brek sebelum terbabas.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Mohamad Syafizani Mohd Rosli berkata, semua mangsa yang cedera masing-masing dikenali sebagai Isanur Laila, 25; Rosnani Silitonga, 23; Meisi, 25; Marian, 25; Rohana, 26; dan Sonia, 22.

“Kesemua mereka cedera ringan di bahagian muka, tangan dan kaki, manakala 24 lagi termasuk pemandu bas tidak mengalami kecederaan.

"Semua mangsa berjaya dikeluarkan dan enam yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, lapan anggota bersama sebuah jentera FRT dan EMRS dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan, sebelum menjalankan kerja-kerja penyelamatan serta pembersihan sisa kemalangan.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 8.27 pagi.

GRACE AISYAH KEDAYAN