LONDON, 11 Ogos – Pengurus Liverpool, Arne Slot, mengakui pasukannya perlu segera memperbaiki kelemahan di bahagian pertahanan pasukan itu menjelang sepak mula Liga Perdana Inggeris minggu ini.
Perkara itu dimaklumkan Slot selepas tewas kepada Crystal Palace dalam aksi Perisai Komuniti, pada Ahad.
Slot melahirkan kebimbangan itu selepas Liverpool dibolosi dua gol ketika seri 2-2 menentang Palace sebelum tewas 3-2 menerusi penentuan penalti.
“Musim lalu kami banyak menguasai bola, tetapi itu tidak selalu menghasilkan peluang menjaringkan gol. Sekarang kami lebih baik mencipta peluang berbahaya, tetapi pada masa sama kami turut bolos,” kata Slot.
“Kekuatan kami musim lalu ialah menang dengan kelebihan tipis, kebanyakannya kerana kami mampu mengekalkan gawang bersih atau hanya melepaskan maksimum satu gol", ujarnya.
Liverpool berbelanja besar pada jendela perpindahan musim ini dengan membawa masuk Florian Wirtz, Hugo Ekitike serta pertahanan Jeremie Frimpong dan Milos Kerkez, selepas musim lalu hanya membwa masuk Federico Chiesa ketika Slot mengambil alih daripada Jurgen Klopp.
Slot turut optimis pemain baharu mampu menyesuaikan diri, namun mengakui proses itu memerlukan masa.
“Kadang-kadang anda perlukan masa sama ada untuk menyesuaikan diri dari segi serangan atau pertahanan,” tambahnya. - REUTERS