fb fb fb fb fb

4 maut dalam nahas kereta dan treler di Felda Chiku Satu

Foto Polis

GUA MUSANG, 11 Ogos -Empat individu maut termasuk dua kanak-kanak, manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori treler di Jalan Utama, Felda Chiku Satu, di sini, pagi tadi.

Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Gua Musang Nik Mohd Fakri Md berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.07 pagi sebelum menghantar anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang ke lokasi kejadian.

Katanya, setibanya di lokasi pihaknya mendapati kemalangan berlaku di antara sebuah kereta dan sebuah treler yang mengakibatkan lima mangsa dalam kenderaan terbabit tersepit.

"Pemandu lori selamat manakala pemandu kereta, seorang wanita dewasa berada dalam keadaan parah manakala empat lagi penumpang termasuk dua kanak-kanak disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya menerusi kenyataan.

Mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital untuk rawatan manakala mangsa yang meninggal diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

Menurut Nik Mohd Fakri, beliau dengan kekuatan 10 anggota itu menggunakan jentera FRT, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan FRV Triton, sebelum operasi tamat sepenuhnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi RTM mengesahkan kejadian itu dan berkata, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang.

TETITIA YUSOFF