fb fb fb fb fb

Enam individu terselamat daripada kebakaran rumah pangsa di Pontian

Kesemua mangsa yang terperangkap di tingkat satu itu berjaya diselamatkan, namun wanita berusia 38 tahun cedera pada tangan kanan.

PONTIAN, 17 Februari- Lima lelaki dan seorang wanita terselamat dalam kebakaran di rumah pangsa empat tingkat di Taman Pontian Utama, tengah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat berkata kesemua mangsa berusia antara 26 hingga 58 tahun yang terperangkap di tingkat satu itu berjaya diselamatkan, namun wanita berusia 38 tahun terbabit cedera pada tangan kanan.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.53 tengah malam yang menyatakan kebakaran berlaku di Blok B.

"Seramai 15 anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan lori tangki air bomba digegaskan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian, didapat berlaku kebakaran melibatkan bilik meter Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terletak di bahagian tingkat bawah rumah pangsa itu, dengan terbakar lebih kurang 10 peratus," katanya.

Mahadir berkata kebakaran turut memusnahkan empat motosikal penduduk.

Katanya, punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan manakala operasi berkenaan ditamatkan pada 2.54 pagi.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI