SANDAKAN, 17 Februari- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah akan mengemukakan permohonan peruntukan bagi penggantian bangunan Klinik Kesihatan Tangkarason di Beluran, yang musnah dalam kebakaran Khamis lepas.
Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, permohonan peruntukan bawah perolehan darurat itu juga bagi menggantikan peralatan yang musnah dalam kejadian terbabit agar perkhidmatan kesihatan kepada penduduk tidak terjejas.
"Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Asits Sanna bersama pegawai kanan JKN Sabah telah mengadakan lawatan pemantauan pada hari kejadian dan beberapa tindakan susulan telah diambil secara tuntas.
"Antara tindakan dilaksanakan ialah perkhidmatan operasi klinik dipindahkan buat sementara waktu ke Dewan Serbaguna Kampung Tangkarason bermula pada 19 Februari ini," menurut kenyataan itu.
KKM memaklumkan bekalan ubat-ubatan, peralatan pakai buang serta peralatan perubatan telah diperoleh dan dibekalkan kepada penduduk manakala petugas terlibat dalam insiden itu telah diberikan sokongan pertolongan cemas psikologi serta ditempatkan di inap desa berdekatan.