fb fb fb fb fb

Kementerian Ekonomi, KKDW anjur KEB 2024

Datuk Dr Zunika Mohamed ditemu bual selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia

KUALA LUMPUR, 17 Februari- Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 dijangka mengangkat 10 fokus utama dalam pembangunan ekonomi Bumiputera secara menyeluruh termasuk Sabah dan Sarawak.

Acara yang akan bermula pada 29 Februari sehingga 2 Mac di Pusat Konvesyen Antarabangsa, Putrajaya itu juga diramal bakal memberikan impak maksimum kepada seluruh rakyat negara ini.

Timbalan Ketua Setiusaha (DASAR) Kementerian Ekonomi, Datuk Dr Zunika Mohamed turut memaklumkan KEB 2024 kali ini, diharap akan membantu kerajaan menetapkan hala tuju, pendekatan baru serta menambah baik agenda Bumiputera yang adil dan saksama.

"Kluster-kluster ini antaranya adalah kluster yang berkait dengan pembangunan modal insan membabitkan pembangunan teknologi terutamanya teknologi moden, pembangunan perusahaan mikro kecil dan sederhana ataupun PKS dan juga kluster ataupun kumpulan yang memberi fokus kepada pembangunan negeri yang juga menjadi sangat penting kepada Bumiputera iaitu Sabah dan Sarawak.

"Kluster ataupun kumpulan kumpulan ini sebenarnya telahpun mengadakan libat urus dan Kementerian Ekonomi juga telah pun mendapat input daripada kluster berkenaan untuk kita garap dijadikan sebagai cadangan atau hala tuju untuk pembangunan Bumiputera nanti,"katanya.

Tambah beliau, platform 'microsite' KEB 2024 turut dibangunkan bagi menggalakkan orang ramai untuk berkongsi idea pembangunan Bumiputera menerusi pertandingan berbentuk esei dan pandangan bermula 14 Februari hingga 31 Mac 2024.

Beliau berkata demikian selepas ditemubual dalam Program Selamat Pagi Malaysia (SPM).

KEB 2024 dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah KKDW.

Bertemakan "Positif, Progresif, Inovatif", KEB 2024 merupakan platform asas dalam mencari jalan lebih serius bagi memperkasakan ekonomi Bumiputera khususnya dalam aspek teknologi baharu dan pelan futuristik untuk generasi akan datang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE