KANGAR, 25 September - Empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terdiri Persatuan BAKAD, Persatuan Amal Bakti Perlis dan Persatuan Komuniti Harmoni Perlis bersama rakan strategik, VC Concept menjayakan Program Ziarah Kasih Parlimen Kangar.
Program dilaksanakan meliputi semua lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Parlimen Kangar iaitu Kayang, Kuala Perlis, Bintong, Sena dan Indera Kayang menyantuni 30 keluarga kurang berkemampuan dengan sumbangan barangan keperluan harian.
Menurut Pengerusi Persatuan Amal Bakti Negeri Perlis, Areff Affandy Ariffin, inisiatif melaksanakan program ini juga bagi memperkukuh ukhuwah, mengenang jasa kepimpinan komuniti dan balu serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga Parlimen Kangar.
Selain itu, usaha murni tersebut bagi berkongsi rezeki hasil sumbangan pelbagai pihak bersama golongan yang memerlukan ketika peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Inisiatif ini juga bagi membolehkan setiap pertubuhan bukan kerajaan yang sama-sama bergabung tenaga menyantuni golongan memerlukan ini mendapatkan maklumat berkaitan setiap keluarga disantuni agar lebih ramai pihak tampil menyalurkan sumbangan.
Beliau memaklumkannya ketika mengetuai Program Ziarah Kasih Parlimen Kangar.
Program ini berjaya memberi impak positif dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat pelbagai lapisan dan kepimpinan tempatan.
Tambahnya, dalam kehidupan hari ini, ruang untuk melaksanakan kebajikan amat luas dan sentiasa terbuka. Usaha digerakkan ini akan dilaksanakan secara berkala demi menyantuni golongan memerlukan.