POKOK SENA, 3 Jun – Sebanyak empat buah masjid yang dibina di negeri Kedah kini telah siap sepenuhnya atau hampir siap dan akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) dalam masa terdekat.
Masjid-masjid tersebut terletak di Changlun, Naka (Padang Terap), Kejai (Baling) serta Pokok Sena dan dibina menerusi peruntukan daripada Pejabat Perdana Menteri dengan jumlah keseluruhan bernilai RM18 juta.
Menurut Pengarah Pembangunan Persekutuan ICU Negeri Kedah, Datuk Zepri Saad pembinaan masjid itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur keagamaan di negeri berkenaan.
Katanya, tahun lalu, ICU Kedah menerima peruntukan sebanyak RM15 juta untuk kerja-kerja pembaikan melibatkan kira-kira 150 buah masjid di seluruh negeri.
"Kita akan terus bekerjasama dengan pihak majlis agama dalam mengemukakan permohonan yang diperlukan. Dengan sokongan pihak majlis, kita akan mengambil tindakan selanjutnya untuk mendapatkan peruntukan daripada Pejabat Perdana Menteri bagi melaksanakan projek yang telah dipersetujui," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Siap Masjid Al-Huda, Mukim Gajah Mati di sini hari ini.
Simbolik penyerahan kunci disampaikan kepada Timbalan Ketua Bahagian Wakaf MAIK, Syeikh Ammar Mohd Suhaimi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Pokok Sena, Mohamad Rizal Mohamad Radzi.
Dalam ucapannya, Mohamad Rizal merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan atas keprihatinan terhadap pembangunan masjid di kawasan luar bandar, khususnya di daerah Pokok Sena.
“Alhamdulillah, saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan dan Ketua Pengarah ICU yang sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan di sini. Banyak masjid di daerah Pokok Sena ini serba kekurangan dan kami telah pun mengemukakan permohonan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Masjid Al-Huda yang baharu siap dibina pada Mac lalu menelan belanja sebanyak RM2.4 juta dan mampu memuatkan sehingga 500 jemaah pada satu-satu masa.