BAGAN SERAI, 3 Jun – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM7 juta bagi membaik pulih dan menaik taraf sistem saliran pertanian di beberapa negeri termasuk Perak, sebagai langkah proaktif menghadapi fenomena cuaca panas yang boleh menjejaskan sektor pertanian, khususnya tanaman padi.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata peruntukan itu akan digunakan untuk melaksanakan pelbagai kerja infrastruktur termasuk pembinaan parit, rumah pam serta sistem saliran di kawasan-kawasan pertanian yang dikenal pasti terjejas.
“Untuk meningkatkan lagi saliran air dan kerja-kerja yang berkaitan, kita mahu memastikan bekalan air masih boleh diperoleh sekiranya berlaku kemarau. Dalam kerja padi ini, bekalan air sangat penting dan menjadi keutamaan sebagai punca dan sumber utama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Jentera dan Peralatan Pertanian Peringkat Negeri Perak Tahun 2025 yang diadakan di Dewan Dato’ Zainal Abidin Zin, di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bekalan lembu bagi ibadah korban di negara ini melebihi 35,000 ekor, sekali gus mencukupi untuk menampung permintaan domestik sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang akan datang.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan pihak kementerian akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa bagi membendung kegiatan penyeludupan lembu dari negara jiran, khususnya Thailand, yang boleh menjejaskan kawalan dan keselamatan bekalan dalam negara.