fb fb fb fb fb

Perkembangan terbaharu Majlis Media Malaysia diumum 14 Jun ini - Datuk Fahmi

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Jun- Perkembangan terbaharu mengenai Majlis Media Malaysia (MMM) akan diumum semasa kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025, 14 Jun ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata penubuhan MMM selari dengan matlamat mempertahan kebebasan media, menjamin laporan yang adil dan bertanggungjawab serta menyediakan saluran aduan awam secara beretika.

"Setelah lebih 50 tahun penubuhannya dibincangkan, akhirnya negara kita berjaya mewujudkan Majlis Media Malaysia sebuah badan kawal selia kendiri yang menghimpunkan semua jenis media yang merangkumi media cetak, penyiaran dan digital," kata Datuk Fahmi ketika berucap pada Majlis Bersama Rakan Strategik HAWANA 2025 di Wisma BERNAMA, hari ini.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa penubuhan MMM dan pelaksanaan inisiatif lain sedang membina asas kukuh bagi masa depan industri media negara.

Sambutan HAWANA 2025 bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Mengimbangi AI dan Etika” akan berlangsung dari 13 hingga 15 Jun di WTC Kuala Lumpur, dengan lebih 1,000 pengamal media tempatan dan antarabangsa dijangka hadir.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa Akta BERNAMA (Pindaan) 2024 telah diwartakan pada 14 Mei lalu, merangkumi pelaporan berita merentasi semua platform termasuk media digital dan elektronik.

Dalam majlis sama, Datuk Fahmi turut merasmikan BERNAMA Mobile Studio, menjadikan BERNAMA sebagai agensi media pertama di Malaysia menggunakan motorhome sebagai studio bergerak untuk liputan dinamik.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM