fb fb fb fb fb

Empat lokasi strategik dipilih tempatkan anggota, jentera bomba

Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon

IPOH, 5 Februari - Empat lokasi strategik di sepanjang jajaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) ditetapkan untuk menempatkan anggota dan jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata lokasi tersebut melibatkan Plaza Tol Tapah, Plaza Tol Kuala Kangsar, Plaza Tol Kamunting dan Plaza Tol Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

"Sekiranya kita menerima apa-apa panggilan kecemasan, anggota yang standby di lokasi ditetapkan akan bergerak ke tempat-tempat kecemasan tersebut.

"Jadi tempoh masa untuk mereka memberi respon tu adalah lebih cepat lagi dan diharapkan juga dapat membantu sekiranya ada kes-kes kecemasan di lebuhraya-lebuhraya pada musim perayaan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran dan Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Tahun Baru Cina 2024, di sini.

Tambah Sayani, pasukan tersebut berperanan untuk mengambil tindakan pantas sekiranya berlaku sebarang insiden kecemasan di lebuh raya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN