fb fb fb fb fb

Empat lelaki ditahan seleweng minyak diesel bernilai RM25,800

JOHOR BAHRU 18 Mei - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Johor berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan 12,000 liter minyak diesel bernilai RM25,800 dalam dua serbuan berasingan di sekitar Tampoi, Johor Bahru malam tadi.

Empat orang lelaki berusia 21 hingga 43 tahun ditahan, dipercayai terbabit dalam aktiviti penyelewengan tersebut.

Komander PPM Wilayah Dua, ACP Muhd Zailani Abdullah berkata, keempat-empat pemandu dan pembantu kedua-dua lori ditahan ketika sedang mengisi minyak diesel ke dalam dua buah lori tangki berasingan.


(Komander PPM Wilayah Dua, ACP Muhd Zailani Abdullah)

"Jumlah keseluruhan rampasan termasuk minyak diesel, 12 unit tangki minyak plastik dan dua buah lori dianggarkan bernilai RM197,800," katanya di sini.

Semua barang rampasan dan suspek yang ditahan dibawa ke Markas PPM Wilayah Dua, Tampoi kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Kes diserahkan kepada KPDNHEP Johor, untuk tindakan selanjutnya dan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Media Baharu