fb fb fb fb fb

Kes HFMD di Melaka meningkat

MELAKA, 18 Mei - Kes berkaitan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Melaka terus menunjukkan peningkatan pada minggu Epid ke 19 berakhir 14 Mei berbanding minggu sebelumnya.

Menurut kenyataan Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, ia menjadikan secara keseluruhan sebanyak 1,378 kes dicatatkan di Melaka.

"Kes dilaporkan masing-masing 124 kes di daerah Melaka Tengah meningkat 125.4 peratus berbanding 55 kes pada minggu sebelumnya, daerah Alor Gajah 162 kes dan Jasin 115 kes berbading minggu sebelumnya yang tidak merekodkan sebarang kes jangkitan," katanya.


(Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh)

Lapan kes HFMD dimasukkan ke wad menjadikan keseluruhan kes kemasukan ke wad setakat ini sebanyak 67 kes, daripada jumlah yang dilaporkan.

Bagaimanapun, majoriti kes atau 91.4 peratus dirawat sebagai pesakit luar.

Selain itu katanya, 16 premis tadika, taska, pusat jagaan kanak-kanak serta rumah persendirian dikesan berlaku jangkitan HFMD dengan 12 premis telah diarah tutup sementara oleh Jabatan Kesihatan Negeri mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Bagi mengekang penularan wabak, pemeriksaan dan pemantauan oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah akan dilakukan ke atas persekitaran berisiko seperti taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak.

Dr Muhamad Akmal berkata, 30 premis sudah diperiksa setakat ini manakala taklimat serta Town Hall membabitkan 900 premis berkaitan pusat penjagaan kanak-kanak kerajaan dan swasta, guru dan pengusaha akan diadakan dalam empat sesi.

"Ibu bapa juga dinasihatkan tidak membawa anak-anak yang mempunyai gejala penyakit itu ke tempat awam, tadika, taska atau pusat asuhan untuk mengelak ia menular.

"Paling utama, sentiasa amalkan kebersihan premis dengan memastikan peralatan yang digunakan kanak-kanak seperti sudu, pinggan, meja dan alatan permainan sentiasa dibersihkan dan dinyahkuman," katanya di sini.

Media Baharu