fb fb fb fb fb

Empat kampung di Sungai Besar terpilih sertai Program Kampung Angkat MADANI

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) Datuk Azlikamil Napiah/ BERNAMA

SUNGAI BESAR, 12 Julai- Empat kampung di Sungai Besar, Selangor terpilih menyertai Program Kampung Angkat MADANI (KAM) yang dilaksanakan oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bermula awal tahun ini.

Kampung Parit 1 Timur, Kampung Parit 2 Timur, Kampung Parit 3 Timur dan Kampung Parit 4 Timur dipilih menerusi inisiatif itu yang menekankan pembangunan secara inklusif, mampan dan sejahtera.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) Datuk Azlikamil Napiah berkata, fokus utama inisiatif Program KAM MYSA itu meningkatkan ekonomi penduduk kampung menerusi projek ternakan ikan air tawar, tanaman herba tradisional dan lebah kelulut dan tanaman melon manis, serta projek penyediaan perkhidmatan dron pertanian dan projek mesin memproses padi kepada beras.

Selain ekonomi, program itu juga  memberi tumpuan kepada pembangunan ilmu sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan pelajar kampung.

"Sebagai agensi yang menerajui teknologi sains dan angkasa, kita juga pada masa yang sama menerapkan teknologi ini untuk dedahkan kepada masyarakat luar bandar khususnya di Sungai Besar, ini bukan sahaja kepada masyarakat, tapi khususnya kepada generasi muda, anak-anak pelajar kita yang menjadi aset penting pada negara pada masa hadapan.   

"Harapan saya program seumpama ini bukan sahaja sebagai pencetus kepada minat dan juga usaha untuk meningkat atau memperkasa kesejahteraan dan ekonomi luar bandar, tetapi MySA juga sebenarnya mendokong aspirasi MADANI yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan agar ianya dapat direalisasikan diperingkat masyarakat setempat yang kita pilih pada hari ini", katanya.

Beliau berkata demikian selepas Peluncuran Karnival Komuniti MADANI MYSA di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar, Selangor.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan aset bernilai RM340,000 bagi meningkatkan ekonomi penduduk kampung iaitu mesin memproses padi dan dron pertanian.

MYSA dengan kerjasama HEMREL UiTM juga menganjurkan Pertandingan Mencipta dan Melancarkan Roket Air dan Roket Pepejal peringkat negeri Selangor dengan penyertaan  lebih 80 buah sekolah rendah dan menengah di negeri itu.

ROSLINA BINTI DIN